4/20/2004

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Nasional/20040419222312/Article/

Nasional -


Penuntut UiTM lemas cuba selamat rakan


DUNGUN: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun lemas ketika cuba menyelamatkan seorang rakannya di kawasan perkelahan Belukar Bukit, Hulu Terengganu, petang kelmarin.

Norhidayah Mohamad, 21, pelajar jurusan Diploma Perakaunan yang berasal dari Kampung Pak Sabah, Dungun ditemui pasukan mencari dan penyelamat kira-kira jam 7 petang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, mangsa dikatakan terjun ke sungai untuk membantu rakannya yang hampir lemas, tetapi dibawa arus deras.

Bagaimanapun, rakan Norhidayah berjaya menyelamatkan diri selepas berpaut pada sebuah batu besar sebelum diselamatkan rakan lain.

Bapa mangsa, Mohamad Ngah, 49, berkata beliau sedih kerana arwah adalah satu-satunya anaknya yang berjaya melanjutkan pelajaran di menara gading.

"Kali terakhir saya menemuinya Rabu lalu ketika menghantarnya ke Kampus UiTM Dungun untuk menyertai pertandingan kawad di Kampus UiTM Shah Alam.

"Sekembali dari Shah Alam pada Sabtu, Norhidayah ada menghubungi ibunya dan meminta saya mengambilnya di UiTM Dungun, tetapi saya menangguhkannya kerana hari sudah lewat malam," katanya ketika ditemui semalam.

Mohamad berkata, apabila dia pergi ke UiTM Dungun petang kelmarin, beliau gagal menemui Allahyarham di tempat dia biasa menunggu.

"Beberapa jam selepas itu saya menerima panggilan telefon dari polis yang memaklumkan arwah ditemui lemas dan saya bergegas ke tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Hulu Terengganu, Mat Kiar Nahin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian bedrkenaan.

Katanya, sepasukan anggota bomba dengan kerjasama pasukan polis dan penduduk kampung melancarkan gerakan mencari sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 7 petang di dasar sungai itu sebelum dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat," katanya.

/ Ps arwah ada adik di utm mengambik sains komp.Berita kurang tepat.

No comments: