1/14/2006

Baca dan kaitkan

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum..

Destinasi:

Laman Web Menarik Hari Ini:

Pengajaran hari ini:

Subuh


Sila baca dan kaitkan.

Surah Al-Muzzammil
1. Wahai orang yang berselimut!.
2. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
3. Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,
4. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".
5. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
6. Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.


``Sesiapa sahaja boleh jadi jutawan''
Mukadimah

BEKERJA dari rumah dan memperoleh pendapatan RM1 juta! Bunyinya mungkin pelik tetapi itu yang telah dibuktikan oleh anak muda bernama Irfan Khairi, 28.
Lebih membanggakan, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Multimedia dari Universiti Staffordshire, United Kingdom (UK) ini mula memegang status jutawan muda sejak tiga tahun lalu.
Ketika rakan-rakan sebayanya sibuk membina keyakinan diri menerusi bidang pekerjaan yang diceburi, Irfan anak kelahiran Perak tetapi dibesarkan di Selangor dan kini menetap di Seremban, telah mampu memiliki apa sahaja yang diingini.
Kejayaan yang dimilikinya itu, walaupun nampak mudah, namun menurut bapa kepada dua anak ini, memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan terancang.
``Saya bukan bergelar jutawan dalam sekelip mata, tetapi mengambil masa tujuh tahun untuk sampai ke tahap ini,'' katanya kepada wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar RASHID MAHFOF ketika ditemui di Kelana Jaya baru-baru ini.
Menurut Irfan, semuanya bermula apabila beliau mula berminat mendalami kejayaan orang lain dalam bidang-bidang tertentu.
``Saya dapati mereka berjaya kerana melakukan apa yang disukai. Dan ini yang saya lakukan untuk diri saya,'' katanya.
Menarik tentang Irfan ialah beliau juga bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di UK, dinamakan Learning Grid.
Pernah mengikuti kursus Ekonomi di Institut Teknologi Mara (kini UiTM), Irfan mengakui ketiadaan minat menyebabkan beliau beralih arah ke bidang multimedia.
Berbekalkan semangat, kreativiti dan komputer ribanya, anak muda pemalu dan suka merendah diri ini akhirnya menemui impian yang dicari-cari - duduk sebaris dengan tokoh jutawan Internet yang lain.
Dengan kepakaran yang ada, Irfan kini mendedahkan segala rahsianya menerusi buku bertajuk Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar yang ditulis sendiri, selain sibuk menganjurkan seminar-seminar tentang kejayaannya.
Irfan berasal daripada keluarga yang menjalankan perniagaan?
Dalam keluarga, saya orang yang pertama menceburi bidang perniagaan.
Bila mula terfikir untuk terlibat secara serius dalam bidang perniagaan seperti ini?
Semasa kecil saya minat melukis dan mereka bentuk. Minat dalam perniagaan bermula semasa remaja, setelah saya membaca buku-buku tentang perniagaan. Ketika berumur 18 tahun saya mula terfikirkan masa depan dalam bidang perniagaan ini.
Bila mula serius dengan komputer?
Semasa saya melanjutkan pelajaran dalam bidang multimedia design di UK.
Siapa yang banyak mendorong minat ini?
Diri sendiri. Selain saya mendapat banyak sumber inspirasi melalui buku-buku tentang kejayaan orang lain yang saya baca.
Orang yang paling dikagumi?
Bill Gates.
Kenapa?
Antara sebab ialah dia merupakan manusia yang paling kaya di dunia. Saya kagum dengan idea, konsep yang diketengahkan. Bill Gates juga seorang ayah yang baik. Walaupun dia orang yang terkaya di dunia tetapi masih tetap merendah diri. Kalau boleh saya ingin menjadi seperti dia.
Apa yang Irfan belajar tentang Bill Gates?
Dari awal sehingga menjadi kaya, dia buat perkara yang dia minat - pengaturcaraan (programming). Dia jadi kaya sebab buat apa yang dia minat. Saya juga selalu sarankan kepada peserta-peserta bengkel supaya buat apa yang mereka minat, jangan terikut-ikut dengan industri lain yang kita sendiri tidak tahu keadaannya. Kalau hendak mencapai kejayaan sebenarnya industri apa pun boleh tetapi yang paling penting, kita minat.
Perkara yang tidak disukai?
Saya suka kalau tidak berfikir negatif tentang orang lain. Memang Bill Gates pun ada perkara-perkara negatif tetapi saya lebih suka mengambil yang positif sahaja.
Apa makna kekayaan bagi Irfan?
Wang bagi saya bukanlah keutamaan. Apa yang paling saya pentingkan ialah keluarga. Ramai yang tanya kalau perniagaan baik kenapa tidak mahu buka pejabat, ada pekerja sendiri. Tetapi bagi saya, kalau sudah ada wang cukup, saya lebih suka duduk rumah bersama keluarga. Memanglah kita perlu duit, tetapi yang lebih penting ialah membina sebuah keluarga bahagia.
Bagaimana keadaan bekerja di rumah?
Saya ada satu bilik khas yang dijadikan pejabat. Apabila saya buat kerja saya akan tumpu sepenuh perhatian kepada kerja. Saya bekerja waktu malam sampai subuh. Selepas (solat) subuh, baru saya tidur.
Kenapa tidak buka pejabat sendiri?
Saya suka menghabiskan masa bersama keluarga. Kalau boleh saya mahu terus begini. Saya selesa dengan cara ini.
Irfan tidak gemar bersosial?
Saya tidak menafikan kalau dibandingkan dengan rakan-rakan lain, mereka lebih gemar menghabiskan masa dengan bermain futsal, tengok wayang dan sebagainya. Tetapi bagi saya, sejak dulu lagi sudah fokus untuk kerja, menjana pendapatan, minat saya di situ. Saya tidak berapa suka keluar dengan kawan-kawan begitu (ketawa).
Lagipun pilihan ini terpulang kepada individu. Saya jadi begini mungkin sebab banyak membaca. Adik saya tidak macam saya, abang saya pun begitu. Mungkin juga faktor pergaulan dengan rakan-rakan semasa kecil banyak mempengaruhi sikap saya sekarang. Dulu, kawan-kawan saya kebanyakannya bukan daripada keluarga berada. Saya pun daripada keluarga sederhana, bila tengok rakan-rakan kaya, kami segan nak bercampur, tidak selesa bila bersama mereka. Sekarang saya telah buktikan walaupun kita hidup sederhana, peluang untuk kita mencipta kekayaan tetap terbuka. Ini juga salah satu daripada matlamat hidup saya.
Bila Irfan menetapkan sasaran untuk bergelar jutawan?
Semasa berumur 18 tahun, saya sudah menetapkan matlamat hendak jadi jutawan sebelum berumur 30 tahun. Saya tulis di atas kertas dan simpan dalam dompet. Saya baca apa yang saya tulis itu setiap hari. Saya percaya apa yang dibaca jika selalu diulang-ulang, akhirnya akan termakbul. Sampai hari ini pun setiap perancangan saya yang akan datang, saya akan baca tiap-tiap hari.
Apa perancangan akan datang Irfan?
Saya hendak cuba memperkenalkan diri di seluruh negara sebagai motivator pula, terutama kepada anak-anak muda kita.
Bagaimana perasaan Irfan bila berjaya mencapai matlamat sebelum masa yang ditetapkan?
Semestinya saya seronok. Tetapi apa yang lebih penting ialah saya rasa lebih yakin dengan kemampuan diri sendiri.
Irfan terlalu merendah diri, kenapa?
Macam saya kata tadi, mungkin dari segi pergaulan dengan kawan-kawan saya terbawa-bawa sikap ini. Kawan-kawan saya memang begitu, tambahan pula dari tingkatan satu sampai tingkatan lima kami dalam satu kumpulan. Persepsi kami semasa itu ialah orang kaya ini biasanya sombong dan suka berlagak tetapi sekarang saya sedar mereka pun sama macam kita sahaja.
Semasa sekolah pernah kena buli?
Memang pernah, biasalah kena buli sebab saya ini lemah sedikit (ketawa). Antara kejadian yang saya masih ingat ialah semasa saya menyertai kelas tae kwan do. Ada seorang budak yang sedang buat latihan secara tidak semena-mena terajang saya. Sikap saya pula ialah tidak suka melawan. Sebenarnya saya memang diajar begitu, sentiasa menghormati orang lebih dewasa.
Sekarang Irfan sudah berjaya, adakah masih berasa rendah diri lagi?
Saya suka begini. Kalau tidak merendah diri saya akan rasa tidak selesa (ketawa).
Mungkin sebagai motivator, sikap rendah diri begini tidak begitu sesuai?
Saya rasa itu bergantung kepada cara pembawaan kita. Bagi saya, yang penting ialah keikhlasan. Saya biasanya akan mengadakan seminar (bengkel) setiap sekali atau dua kali sebulan cara bagaimana untuk menjadi jutawan, tetapi cara saya berpakaian misalnya, jelas dapat dilihat yang para peserta lagi segak bergaya daripada saya.
Bagaimanapun saya rasa masyarakat sudah mula menerima gaya penyampaian begini (berpakaian ringkas). Sebelum ini bila kata jutawan, orang itu mesti pakai kot, tali leher, bawa kereta mewah dan sebagainya. Tetapi di Amerika Syarikat seperti Bill Gates sendiri, dia beri ceramah pakai baju T biasa sahaja. Yang penting kejayaan dia. Saya kalau boleh hendak menjadi seperti resmi padi - semakin berisi semakin tunduk.
Pertama kali bertindak sebagai motivator, apa pengalaman yang dialami?
Kelam-kabut kerana saya lupa banyak fakta dan saya buat banyak kesilapan. Saya cakap tergagap-gagap. Tetapi ini memang saya jangka dari awal. Di sekolah saya tidak pernah buat pengucapan awam. Itu kali pertama seumur hidup saya berucap depan 20 hingga 30 orang.
Sampai sekarang saya masih gementar. Tetapi biasanya ia berlaku dalam 10 minit pertama kemudian semua berjalan lancar.
Orang kata kalau terlalu merendah diri, pihak lain mudah mengambil kesempatan?
Ada betulnya juga, tetapi itu mungkin berlaku dalam dunia korporat atau perniagaan yang banyak persaingan. Macam saya kerja di rumah dan mengadakan bengkel mungkin keadaan itu tidak terasa sangat.
Sebelum terlibat dalam bidang multimedia, Irfan mengambil jurusan ekonomi di UiTM. Mengapa beralih bidang?
Semasa itu saya sendiri tidak tahu hendak pilih jurusan atau bidang apa yang patut saya ceburi. Jadi ibu banyak mendorong saya supaya mengambil jurusan itu.
Persepsi orang tua, untuk berjaya kena jadi ahli ekonomi, doktor atau peguam, itu sahaja. Walaupun saya telah ada minat melukis, mereka bentuk tetapi ketika itu saya tidak nampak boleh mengembangkan bakat yang ada. Sehinggalah selepas UiTM, kerajaan mula memperkenalkan MSC. Saya lihat inilah peluang saya. Dan pada masa sama, saya memohon di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang multimedia. Alhamdulillah saya diterima. Saya merupakan pelajar pertama yang JPA hantar untuk buat jurusan multimedia di luar negara. Untuk ini saya berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah mencetuskan idea ini.
Apa pendapat Irfan tentang Tun?
Beliau banyak memberi galakan kepada orang Melayu untuk berjaya. Saya sensitif bercakap fasal Tun (sebak).
Kenapa Irfan sebak?
Saya kagum dan hormat pada beliau. Saya sukar menerima kritikan negatif orang lain terhadap beliau. Bagi saya, manusia memang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan tetapi Tun telah melakukan banyak perkara baik untuk orang Melayu.
Kalau diberi peluang berjumpa Tun?
Sebenarnya saya memang teringin sangat untuk berjumpa dengan Tun.
Tiga perkara yang Irfan suka lakukan?
Saya suka bermain dengan anak-anak, melayan isteri dan keluarga, melukis selain menonton cakera padat digital (DVD).
Tiga perkara yang tidak suka dilakukan?
Saya tidak suka bersukan (ketawa), membuang masa dan kalau saya tidak ada kerja untuk dilakukan (menambah pendapatan).
Semasa kecil pernah berlaku perkara yang Irfan tidak boleh lupakan sehingga membentuk sikap Irfan hari ini?
Tidak ada perkara luar biasa yang berlaku dalam hidup saya. Sebenarnya hidup saya agak bosan juga (ketawa). Yang banyak mempengaruhi diri saya ialah mungkin minat membaca. Boleh dikatakan waktu dulu, buku adalah teman baik saya.
Semasa remaja, saya suka tengok dan membaca kisah kehidupan bintang-bintang terkenal dunia seperti penyanyi Kylie Minogue, Micheal Jackson dan lain-lain lagi. Bila saya tengok mereka, mereka seronok bekerja (menyanyi atau berlakon) kerana mereka dapat buat apa yang mereka suka. Bila kaji kehidupan mereka, rumah mereka besar-besar kerana berjaya dalam hidup. Dari situ, saya tanam cita-cita untuk jadi seperti mereka. Disebabkan saya tidak pandai menyanyi, maka saya perlu mencari jalan lain untuk mencapai kejayaan.
Siapa pelakon yang diminati?
Tom Cruise, Tom Hank dan Nicole Kidman.
Apa kelemahan Irfan?
Saya mudah lupa terutama membabitkan nombor. Semasa sekolah dulu, saya tidak minat dengan subjek Matematik dan subjek-subjek lain yang berkaitan dengan nombor. Semasa sekolah dulu, saya selalu tidak lulus subjek Matematik dan Perakaunan.
Apa falsafah hidup Irfan?
Kejayaan tidak akan datang bergolek. Kita perlu sentiasa bekerja keras untuk mencapai matlamat. Masalahnya sekarang, ramai yang suka mengambil jalan singkat.
Tetapi Irfan sendiri membuktikan kejayaan boleh dicapai dengan jalan singkat?
Tidak, saya tidak mendapatkan kekayaan ini dengan jalan singkat. Saya mula menetapkan sasaran saya pada umur 18 tahun. Hari-hari saya mengulangi hasrat saya, hari-hari juga saya membaca buku ke arah merealisasikan hasrat saya. Setiap satu atau dua minggu, saya akan menghabiskan sebuah buku. Kalau bukan bersungguh-sungguh, orang lain tidak akan melakukan apa yang saya lakukan. Usaha ini berterusan sehingga tujuh tahun. Tujuh tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat. Saya berjaya semasa berumur 25 tahun.
Apa perasaan menjadi jutawan pada usia muda?
Saya rasa ada ramai lagi jutawan muda di luar sana. Mungkin kejayaan mereka tidak dihebahkan. Saya pula lebih suka berkongsi pengetahuan yang ada dengan orang lain.
Sukarkah untuk menjadi kaya?
Tidak susah kalau kita tahu jalannya. Paling penting kita mesti buat apa yang kita minat. Kalau kita minat, kita kerja dari pagi ke malam, tidak akan rasa ia sebagai beban.
Apa makna wang pada Irfan?
Walaupun saya kata wang perkara kedua dalam hidup, tetapi saya tidak pernah ada tanggapan negatif pada wang. Sesetengah orang kata, duit banyak bukan boleh bawa masuk ke kubur. Tetapi kita kena terima hakikat dengan duit, kita boleh buat keluarga gembira selain kalau kita mati pun, wang masih berguna kerana kalau kita ada yayasan, ia masih boleh membantu kerana ia merupakan amal jariah berterusan kita.
Pernah terfikir untuk menubuhkan yayasan sendiri?
Memang ini sebahagian daripada perancangan saya. Dan saya rasa ini konsep yang sepatutnya mereka yang mampu, amalkan.
Bagaimana Irfan membelanjakan wang?
Saya banyak belanja kepada perkara yang berkaitan dengan perniagaan saya. Saya bukan seorang yang boros sebaliknya lebih suka melabur semula wang ke dalam bidang yang memberi pulangan misalnya hartanah.
Apa aktiviti tahunan yang sering dilakukan bersama keluarga?
Setiap tahun saya akan membawa keluarga melancong ke luar negara. Dalam negara pula dalam dua atau tiga kali setahun.
Percutian bagaimana yang disukai?
Yang ada permainan atau tempat hiburan seperti Disneyland dan Under Water World (ketawa). Selain bawa anak-anak, saya dan isteri memang suka tempat-tempat begini. Satu lagi yang kami tidak akan ketinggalan ialah melihat rumah mereka yang berjaya kerana ini akan lebih merangsang diri saya.
Tempat yang menjadi impian Irfan dan keluarga untuk dilawati?
Kami ingin melawat Sepanyol. Di sana ada Under Water World terbesar di dunia.
Bagaimana Irfan fikir orang lain melihat Irfan?
Penampilan saya atau cara saya membawa diri saya mahu orang senang dengan saya. Saya lebih suka kalau masyarakat melihat saya sebagai seorang yang boleh memberi inspirasi dan meningkatkan keyakinan untuk mencapai kejayaan daripada melihat saya sebagai seorang jutawan.
Apa yang Irfan banggakan tentang diri Irfan?
Saya dapat menggembirakan keluarga dan dapat melakukan kerja yang saya suka.
Apa yang selalu diimpikan?
Saya mahu semakin maju dan berjaya dalam hidup. Kalau boleh saya hendak membantu orang lain mencapai kejayaan.
Bila masa paling menggembirakan Irfan?
Sewaktu saya mendapat anak.
Apa yang Irfan rasa sekarang?
Pernah juga saya terfikir dulu saya tidak minat subjek Ekonomi, Matematik dan subjek-subjek nombor yang lain tetapi sekarang saya terlibat secara langsung (ketawa).
Malah sekarang bila jumpa kawan-kawan, mereka pelik, macam mana dulu tak suka kira-kira duit, sekarang boleh membuat duit. Jawapan saya ialah, saya buat apa yang saya minat dan bekerja keras, duit akan datang dengan sendiri selepas itu.
Siapa yang banyak mempengaruhi hidup Irfan?
Untuk berjaya dalam bidang yang saya ceburi sekarang kebanyakannya diri saya sendiri. Emak dan ayah memang ada memberi dorongan tetapi daripada jauh. Selepas tamat pengajian di UK, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku tentang kejayaan orang lain.
Irfan anggap diri terkenal sekarang?
Belum lagi rasa-rasanya (ketawa). Kalau ikutkan saya, saya lagi ramai kenal wartawan yang interviu daripada kawan-kawan. Dunia luar memang saya kurang tahu.
Suka dengar muzik?
Saya minat rock tetapi rock Barat. Kalau di Malaysia, saya suka KRU. Saya pilih KRU kerana mereka business minded. Bila tengok muzik, saya tidak tengok muzik sahaja tetapi tengok siapa orangnya - apa kejayaan-kejayaan yang telah mereka capai.
Harapan Irfan?
Mahu membina keluarga yang bahagia dan berjaya. Saya juga harap dapat meneruskan kerja dengan lebih cemerlang lagi.
Apa yang Irfan kesalkan?
Ada pihak-pihak tertentu menyalahgunakan nama saya. Mereka kaitkan saya dengan skim piramid online. Saya bimbang orang ramai akan fikir cara itu betul padahal kejayaan saya tiada kaitan langsung dengan skim piramid yang dimaksudkan.

Oleh Rasheffa Abdul Rashid | Gambar oleh Jamah Nasri


SERIHANA (kiri) dan Abdul Ghani turut terpegun
dengan kebolehan luar biasa Adi.

"OTAK Adi Putra adalah pemberian Allah". Itulah kata-kata yang diucapkan sendiri oleh kanak-kanak pintar, Adi Putra Abdul Ghani yang baru berusia enam tahun dan bercita-cita menjadi seorang profesor matematik Islam.




Adi Putra yang suka makan roti bersama minuman bercoklat serta aiskrim, mempunyai kebolehan luar biasa untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam mata pelajaran matematik peringkat sekolah menengah termasuk algebra, indeks dan trigonometri.

Kebolehan menjawab soalan matematik tambahan secara congak dengan tepat dan menerangkan bagaimana beliau memperoleh jawapan berkenaan menggunakan formula sifir dan logik tersendiri, juga meyakinkan.

Penulis yang mempunyai sedikit latar belakang dalam matematik tambahan, terasa kagum melihat keupayaan seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai pendidikan formal matematik seperti Adi mampu menyelesaikan soalan seperti 30.80 - 2 7/10-3 2/100 = 25.08 atau 1/16 = 0.0625 atau (3/4) kuasa dua - punca kuasa tiga 125 = -4 7/16 secara congak.

Adi menyelesaikan soalan itu kurang daripada sesaat kerana anak genius ini memberikan jawapan secara spontan sebaik melihat soalan yang diberikan bapanya, Abdul Ghani Wahid.

Siapa sangka keunikan kanak-kanak berasal dari pekan kecil seperti Bagan Serai itu akan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk tawaran Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang membantu menggilap kebolehannya menerusi kepakaran yang ada di universiti itu.

Ramai berpendapat kepintaran kanak-kanak yang belum bersekolah ini tidak boleh disia-siakan dan harus diberikan perhatian dan bimbingan terbaik bagi mengenal pasti potensi akliah atau IQ dan tahap kepintarannya.

Ogos lalu, Berita Harian melaporkan kehebatan Adi Putra dengan mudah mengalahkan 19 guru serta 230 pelajar Tahun Satu hingga Enam dalam ujian kepintaran minda di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau Baru dekat Bagan Serai.

Dalam ujian itu, Adi Putra dengan pantas menjawab tepat sehingga membuatkan guru tertanya-tanya mengenai formula sifir dan logik menjawab soalan yang diberi secara rawak.

Kanak-kanak itu juga mampu menyelesaikan pelbagai soalan matematik peringkat sekolah menengah dan mengenal dengan mudah angka trilion (15 angka).

Kebiasaannya, Adi Putra hanya mengambil masa kurang satu minit bagi menjawab soalan asas matematik manakala bagi soalan peringkat sekolah menengah serta asas universiti, kanak-kanak itu mampu menyelesaikannya kurang lima minit dengan hanya menggunakan jari dan kekuatan ingatannya.

Adi juga menghadiri majlis motivasi anjuran pelbagai pihak dan sehingga kini sudah menerima 26 sijil penghargaan, termasuk diiktiraf sebagai pakar motivasi daripada Majlis Guru Besar Daerah Larut, Matang dan Selama.

Kepintarannya juga menyebabkan ada sekolah rendah dan menengah mengundangnya untuk memberi motivasi, selain dua institusi pengajian tinggi seperti Politeknik Tanjung Malim dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Persoalannya ialah bagaimana kanak-kanak berusia enam tahun dan ketinggian tiga kaki setengah ini mempunyai kemampuan luar biasa itu? Apakah kesan dididik dengan formula khusus oleh ibu bapanya atau ia memang satu keistimewaan pemberian Ilahi.

Dalam pertemuan dengan Berita Minggu, memang terasa kebolehannya adalah pemberian Tuhan dan Adi Putra mungkin satu dalam sejuta yang memiliki kecerdasan akliah seperti itu.

BERSEDIA membantu rakan menyelesaikan masalah matematik.

Bapanya yang lebih awal mengenal pasti keistimewaan anaknya menanam pelbagai usaha menguji sendiri tahap kecerdasannya dengan membimbing dan mengajar asas matematik pada usia Adi Putra seawal tiga tahun yang kemudian mendapati kebolehan anaknya melebihi kanak-kanak biasa.

Abdul Ghani yang berasal dari Terengganu, sebelum ini juga pernah memberitahu kepintaran anak bongsunya itu dikesan sejak berusia empat tahun apabila Adi Putra berjaya menyelesaikan masalah matematik abangnya, Amirul Izuan, 10, yang ketika itu di Tahun Dua.

Beliau yang kini bertugas sebagai Juruteknik Tenaga Nasional Berhad di Bagan Serai, berkata, anaknya mempunyai hasrat mahu menjadi seorang pakar matematik Islam di samping menjadi seorang yang tahfiz al-Quran.

Menurutnya, beliau dan isterinya, Serihana Alias, 30, mendapat pelbagai jenis petanda sebelum kelahiran Adi Putra. Pada masa itu mereka tidak tahu apakah yang dimaksudkan tanda luar biasa yang mereka dapat itu.

Beliau teringin sangat menamakan anaknya Adi Putra dan setelah menjalankan sedikit kajian Abd Ghani mendapati “Adi Putra” adalah nama kepada Tok Guru Silat kepada pahlawan dalam sejarah iaitu Melayu Hang Tuah.

"Pada waktu itu kami juga tidak membuat imbasan untuk melihat jantina anak kami. Kemudian saya bertanyakan kepada seorang yang berkemahiran dalam ilmu mistik, bolehkah saya menamakan anak saya Adi Putra.

"Orang itu berkata nama itu keras dan anak yang diberikan akan menangis tiga hari tiga malam jika tidak serasi dengannya dan perkara itu tidak berlaku kepada Adi Putra.

"Tidak pula saya sangka akan mendapat anak lelaki kerana saya benar-benar teringin menamakannya Adi Putra... mungkin sebab itu dia suka bermain pedang jika ternampak kayu," katanya sambil ketawa.

Abdul Ghani berkata, orang itu juga telah meminta isteri saya supaya membaca al-Quran sepanjang mengandungkan anak ketiganya.

Ibunya, Serihana berkata, dia gemar membaca surah Maryam, Yusuf dan Luqman sebagai amalan harian ketika waktu lapang ketika mengandungkannya.

Serihana berkata, dia juga tidak dapat melupakan peristiwa bermimpi melihat sebutir berlian di langit, hasil gabungan lima bintang yang cukup terang dan bersinar ketika berusia belasan tahun iaitu sebelum berkahwin dengan Abdul Ghani.

"Pancaran sinar itu cukup kuat sehingga seperti melekat pada muka saya, sejak mimpi itu saya sentiasa tertanya-tanya maksudnya dan hari ini saya rasakan ia ada kaitan dengan kelahiran Adi Putra.

"Mengandungkannya tidak sama seperti mengandungkan dua anak yang lain. Naluri untuk mengaji dan membaca tiga surah berkenaan lebih kuat. Kalau hari ini saya membaca surah Maryam berulang-ulang kali, keesokannya pula saya membaca surah Yusuf dan Luqman," kata.

Bagaimanapun, Serihana yang mendirikan rumah tangga dengan Abdul Ghani sewaktu berusia 18 tahun, berkata amalan membaca al-Quran ketika mengandung sudah menjadi kebiasaan kepada dirinya.

"Ketika mengandungkan dua anak yang lain iaitu Amirul Izuan, 10, dan Seri Amelia, 8, saya tidak menumpukan kepada tiga surah saja, sebaliknya akan membaca keseluruhan surah dalam al-Quran," katanya yang pernah menjadi guru sandaran di Sekolah Menengah Slim River, Perak, selama lima tahun.

Adi Putra dikatakan adalah seorang kanak-kanak yang pelik yang tidur hanya selepas jam 4 pagi dan banyak menggunakan masanya awal paginya antara jam 12 hingga 4 pagi cuba menyelesaikan masalah matematik yang diberikan bapanya.

"Dia memang aktif selepas jam 12 malam, bermain dan menjawab soalan yang disediakan bapanya. Tetapi dia tidak akan menjawab soalan itu di hadapan kami kecuali kami memintanya menerangkan bagaimana dia memperoleh jawapan itu.

"Dia jarang makan nasi dan tidak makan kuning telur. Sifatnya juga tidak seperti kanak-kanak lain. Dia juga tidak suka makan organ dalaman haiwan seperti hati atau limpa dan waktu tidurnya pula terhad jam 4 pagi hingga 10 pagi jika tiada kelas tuisyen.

"Kami mengajar Adi Putra mengenali angka 1-100 ketika berusia dua hingga tiga tahun dengan menggunakan makanan seperti gula-gula berwarna.

"Sambil dia mengira gula-gula itu dia juga mengenal warna. Dia juga seorang yang jujur, jika dia mahukan aiskrim 20 sen, 20 sen yang digunakan walaupun diberikan RM1," katanya.

Serihana yang bangga dengan pencapaian anaknya, berkata Adi Putra juga berbeza daripada adik beradik yang lain kerana mempunyai rasa hormat dan budi pekerti tinggi ketika bersama ibu bapanya.

Adi Putra bukan seorang kanak-kanak yang suka menunjukkan kebolehannya kepada orang lain malah seorang pemalu. Kanak-kanak ini juga dididik penuh kasih sayang dan sangat manja bersama kedua ibu bapanya.

"Dia tidak pernah lupa mengucapkan `terima kasih pak' walaupun berkongsi segelas air oren bersama bapanya. Kami tidak ajar atau memaksanya bersifat sedemikian kerana itu memang cara dia.

"Kadang-kala kami juga kagum dengan kebolehannya sehingga kami terpaksa memujuknya mengajarkan kepada kami. Kami perlu faham dulu cara dia menyelesaikan masalah matematik sebelum mengajarkan kepada orang lain," katanya.

Kanak-kanak genius ini juga tidak bangga dengan kebolehannya yang sejak kebelakangan ini mendapat perhatian meluas daripada media atau pihak tertentu yang mahu beliau bekerja bersamanya serta bantu membimbingnya.

Malah, bapanya sendiri mengakui anak bongsunya itu pelik apabila mendapati dia turut menanam azam tinggi untuk menabur bakti seperti idolanya iaitu Naib Canselor Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech, Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh.

"Adi nak jadi pandai seperti Prof Dr Ismail, kerana dia pandai walaupun dia buta," kata Adi Putra.

Banyak lagi hendak dikatakan mengenai Adi Putra, mungkin bapa kepada kanak-kanak istimewa yang dianugerahi bakat ini sendiri dapat menceritakan mengenai kehebatan dan kepintarannya.

PROFIL
Adi Putra Abdul Ghani

Usia : 6 tahun
Nama bapa : Abdul Ghani Wahid, 47
Nama Ibu : Serihana Alias, 30
Adik beradik lain : Amirul Izuan, 10 dan Seri Amelia, 8.
Tarikh Lahir : 27 Januari 1999
Cita-cita : Profesor Matematik Islam
Makanan kegemaran : Roti bersama milo dan susu, aiskrim
Hobi : Berenang dan bermain bola sepak
Sifat : Peramah, mudah berkawan, kreatif menjawab pelbagai soalan matematik
Minat : Matematik dan ilmu logik
Idola : Naib Canselor Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech, Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh.




Zohor



Asar



Maghrib





Isyak

3 comments:

Hamka said...

Kerja itu ibadat?
atau
ibadat itu kerja?

Karl Hiunzm said...

Hai, Anda mempunyai blog yang hebat! Saya akan bookmark blog anda!

Saya ada website kerja dari rumah. Peluang kerja dari rumah di sini.

Lawatilah website saya bila ada masa lapang :-)

Karl Hiunzm said...

Hai, saya suka membaca blog untuk menambah ilmu dan maklumat. Setiap hari sekurang-kurangnya saya lawat 20 blog. Blog anda adalah antara yang paling menarik untuk hari ni. Keep up the good work!

Terlanjur saya di sini, tahukah anda apa yang TERHANGAT DI MALAYSIA. Sistem Menjana Wang Secara Automatik. Cuma bayar RM50 sekali seumur hidup dan lihat wang akan mencurah-curah ke akaun bank anda sampai bila-bila. Peluang peluang perniagaan di rumah di sini.