9/21/2007

Ramadhan Kareem

Ramadhan
Alhamdulillah, hari ini sudah pun ke 10 Ramadhan. Tinggal 20 hari Ramadhan saja a lagi untuk kita jadikan supaya hasilnya baik diredhai oleh ALLAH.

Alhamdulillah, berkesempatan berterawih di masjid, alhamdulillah, moga ALLAH peluangkan dilain masa untuk saya nikmati lagi nikmat ALLAH ini. InsyaALLAH. Sedikit luahan rasa motivasi diri. Sewaktu berterawih, terasa diri ini tidak memahami apa yang dibawa oleh Tok Imam. Ini memotivasikan saya untuk belajar bahasa arab. Saya dapat tahu di sini ada kelas hurfiah yang mengajar daripada huruf ke huruf, dan dihafal bersama-sama dengan tok guru. Hmm. Semacam target pula untuk pergi dari huruf ke huruf dan hafal. Mungkin tahun depan saya dapat menikmati laguan imam sewaktu tarawih dengan penuh makna. Doakan! Ameen!

Motivasi
Hmm, tadi berkesempatan untuk mendengar rakaman adik Siti Fatimah tentang kejayaan dia dalam SPM tahun lepas. Dia membahagi dua waktu dalam dirinya. Pertama waktu sekolah dengan menumpukan perhatian yang sepenuhnya. Waktu kedua adalah untuk hafazan Al-Qur'annya. Malamnya mesti bersolat hajat dan berdoa serta mengulangkaji hafazan-hafazan dari Kitab Suci itu. Hmm Inilah resepi orang berjaya. ALLAH.

Saya ingin berkongsi mungkin sedikit apa yang saya sudah timba semasa kehidupan saya di alam belajar di universiti dahulu. InsyaALLAH. Untuk pengetahuan adik-adik saya ini bukanlah seorang yang pintar, tetapi saya selalu dapat rasakan saya akan berjaya jika saya jumpa dengan kaedah yang betul. Saya pernah gagal, tidak tahu bagaimana cara hendak belajar, sehinggalah iman saya temui di tempat saya menuntut di sebuah institut pengajian tinggi di Malaysia. Baiklah bermula dengan cerita saya. Sewaktu akhir SPM, saya tersalah pilih langkah, tidak tahu arah kemana, selepas keputusan saya tidak boleh dibanggakan. Saya masuk ke tingkatan 6 memandangkan itu tawaran yang saya terima. Masuk ke tingkatan 6 di aliran sains memang membanggakan kerana saya cuba melawan arus dengan saya seorang sahaja pelajar melayu beragama Islam di situ. Saya bersungguh-sungguh secara semangatnya untuk mengecapi kejayaan, tapi saya acapkali gagal tidak tahu hendak kemana.

Masuk tahun kedua di tingkatan 6, saya teragak-agak sama ada hendak terus atau berpaling tadah ke aliran sastera, tetapi saya tetap tidak berputus asa. Saya tidak paham apa yang di ajar sehingga lah akhirnya saya terpaksa terima hakikat dengan kegagalan saya setengahnya dalam aliran sains.

Tidak tahu arah
Saya betul-betul tidak tahu arah saya kemana selepas menerima keputusan teruk itu. Nak masuk universiti dengan STPM tidak cukup syarat untuk diterima masuk. Kebuntuan tiada arah jalan. Umur ketika itu adalah 19. Ke mana arah saya. Saya termotivasi
dengan Tok Penghulu Nan pada masa umurnya 18 membuat program motivasi untuk adik-adik. Tidak padan dengan umur saya pada ketika itu 19 tahun, saya tercabar. Lebih-lebih lagi apabila dengar dengan izin ALLAH ceramah menorobos kemampuan diri oleh Dr. Fadzilah Kamsah, saya teruja untuk mengatur arah diri kerana saya merasakan saya ini manusia yang bukan tempatnya untuk menganggur. ALLAH....

Dengan semangat yang ada, saya buat resume, pergi kesekolah2 untuk menjadi guru ganti. Saya dulu seorang pemalu, kuasa ajaib dengan izin ALLAH telah meletakkan arah panah laluan saya ke arah itu. Dengan motor skuter arwah abah, saya membawa diri dengan keputusan SPM saya menuju kesekolah di kawasan dalaman KL.

Alhamdulillah, saya diterima sebagai guru ganti di Sek Keb Gombak 1. Kerja mengajar saya lakukan dengan semangat muda saya dan suara lantang saya. Mengajar memberi saya satu keyakinan dan pengalaman untuk bercakap dengan semua orang. Alhamdulillah.

Suatu hari, saya terisi satu borang untuk ke IPTA . Due date sewaktu saya tahu adalah pada hari itu. Alhamdulillah, pergi ke BankMuamalat untuk masukkan duit RM 6, kemudian kembali semula untuk mengisi borang. Keadaan terlalu sesak dilaman web tersebut menyebabkan saya tidak dapat masuk. Lalu saya minta tolong bertanyakan sahabat kemudian sahabat tersebut berikan link singkat untuk saya terus ke laluan isi borang tersebut. Alhamdulillah, sudah ditaqdirkan mungkin.

Kemudian diakhir setahun saya mengajar, saya mendapat tawaran untuk sambung belajar, sedikit kabur sama ada hendak teruskan mengikuti kursus dalam mengajar atau terus sambung belajar. Atas nasihat Kak Nie, saya teruskan.

Maka disinilah segala-galanya bermula....bersambung..InsyaALLAH.

bersambung semula

Disinilah segala-galanya bermula. Disini saya mula menghayati apa itu peperiksaan, yang sebelum ini saya tidak tahu langsung bagaimana untuk menghadapiya. Mungkin kerana ketidak matangan dan tidak tahu cara yang sesuai dengan diri ini. Di universiti, kita tidak dibebankan dengan banyak matapelajaran sekaligus. 5 @ 6 mata pelajaran kemudian diakhir 4 atau 5 bulan kita akan hadapi peperiksaan.

Saya akan kongsikan sedikit pengalaman saya yang tidak seberapa ini. Hmm. Sebenarnya saya ini seorang yang agak aktif didalam persatuan. Maka saya tidak punya banyak masa. Jadi di akhir semesta, saya akan fokus betul-betul dihadapan buku. Mula-mula sekali, saya akan pastikan nota-nota pensyarah, nota-nota dari buku rujukan, soalan-soalan akhir tahun semua ada. Kemudian saya akan lihat pada peperiksaan yang akan saya hadapi. Tarikhnya. Seterusnya saya akan bahagikan bab-bab mengikut kemampuan dan juga sisa baki masa yang ada sebelum peperiksaan bermula. Biasanya 1 bab 1 jam. Kalau susah mungkin makan 2 @ 3 jam. Oleh kerana saya ini membaca lebih cepat daripada faham, maka saya perlahankan bacaan saya dengan menulis apa yang saya baca. saya akan cari kertas A3, pen warna-warna, highlighter, dan kemudia saya akan lipat kertas A3 tu kepada beberapa bahagian. Kemudian akan saya tulis nota-nota penting didalam kertas tu dengan tulisan yang kecil. Seronok kerana kita dapat melihat semua sekali dalam kertas A3 tu. Penting diakhir sebelum peperiksaan untuk review sekali. So tak yah lagi lihat buku tebal-tebal yang akan menambahkan tekanan. Tapi kita lihat kertas A3 yang warna-warni yang akan menambah motivasi kita.

Selepas saya kemaskan nota dan pembacaan saya, saya akan buat peta minda, untuk melihat point-point penting selepas tingkat pemahaman saya bertambah. Dan yang penting sekali kena menjawab soalan akhir tahun, untuk mendapat gambaran dan keyakinan supaya tidak tensen dan supaya menjadi biasa dengan kertas peperiksaan dan formatnya. InsyaALLAH. Teknik ini saya telah cuba dan alhamdulillah, memang berjaya.

Kesimpulan, langkah-langkah tersebut perlu diambil:
1) Kemaskini nota, bahan rujukan, soalan akhir tahun dan sebagainya
2)Baca mengikut masa sebelum tarikh peperiksaan/Pastikan habis satu buku sekurang-kurangnya.
3)Buat peta minda untuk lihat point-point penting.
4) Jawab soalan akhir tahun,mesti ada kemusykilan punya lah
5) Jumpa pensyarah/ cikgu untuk bertanya tentang masalah dan minta halalkan ilmu.

InsyaALLAH, adik-adik dan sahabat-sahabat akan berjaya. Ameen. Perlu dipastikan kita punya hati yang bersih. Dulu pagi-pagi saya akan susun jadual saya. Solat berjemaah, baca mathurat, baca yassin setiap pagi. Waktu maghrib satu juz(lebih kurang 20 muka surat, paling cepat 40 minit paling lama 1 jam) mesti dihabiskan . Sebenarnya saya rasakan inilah faktor kita bila kita tingkatkan iman kita, maka kita akan berjaya. Solat tahajud juga penting untuk kita tahan lasak dengan cabaran yang akan kita hadapi. Semua tu kena jaga. Bila iman kuat, kita tidak akan rasa berputus asa, maka kita akan berjaya buat teknik-teknik yang saya bentangkan diatas. Sebenarnya, jangan berputus asa itu lahir diatas kesan keimanan kita kepada ALLAH. Saya juga sebenarnya tidak ada banyak masa dahulu. Kuiz dan peperiksaan 1 , peperiksaan 2 sebelum peperiksaan akhir atau kita panggil markah terkumpul tidak lah banyak mana. Cuma diakhir semesta saya tumpu betul-betul dan jangan berputus asa. Tingkatkan iman kita. InsyaALLAH kita akan berjaya. Pensyarah saya pernah kata, kalau susah nak faham sesuatu bab berhenti dulu, mengaji dulu surah Yassin, lihat perkataan-perkataan didalam AL-Qur'an akan memudahkan kita memahami koding-koding yang pelik-pelik dalam programming dan untuk bersihkan hati. Hmm, saya pernah cuba dahulu. Kalau tidak faham sesuatu bab, berhenti dulu, solat taubat, minta ALLAH ampunkan dosa yang menggelapkan hati kita sebelum sambung balik. Hati yang kotor menyebabkan kita susah nak faham sesuatu sebenarnya. Alhamdulillah, ALLAH bukakan jalan, akhirnya dengan bertanya, saya faham walaupun sebenarnya hanya esok peperiksaan akhir akan berlangsung. Hmm. Jangan sesekali putus asa sebenarnya. Untuk jadi kuat, kuatkan iman kita. InsyaALLAH kita akan berjaya. Ramai orang pelik dengan saya, pensyarah juga begitu. Carry Mark begitu teruk, kalau orang kata, InsyaALLAH akan gagal, tapi InsyaALLAH, jika kita tingkatkan iman kita, maka kita akan berjaya. Itulah rahsianya sahabat-sahabat semua.

Penghargaan kepada guru-guru, pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat yang percaya kepada saya, Pn. Marhanis dan lain-lain yang saya tidak akan lupakan dalam ingatan saya. Saya doakan kalian berjaya dunia dan akhirat. Ameen. Saya menulis bukan untuk menunjuk-nunjuk, tapi untuk panduan adik-adik yang tercari arah seperti saya, moga tulisan ini akan motivasi kepada adik-adik sekalian. Ameen.


















2 comments:

cakapaje said...

Salam Mumtazah,

Pernah mengajar? Hmm...mungkin saya miss log bahagian itu. Tapi takpa, harap sambungan tu jangan lama lama sangat ye, letih menunggu...:)

kak said...

salam dik.bagus :) keep it up!